Rilax Zzz

Tidur yang Sihat

Apakah sebenarnya yang terjadi ketika anda sedang tidur?

Pernah terfikir apa yang tubuh dan minda anda lakukan semasa anda tidur? 

Lazimnya, hari-hari yang dilalui akan lebih produktif apabila kita bangun daripada tidur yang nyenyak dan berkualiti. Namun, selain membantu memulakan hari kita dengan segar, bertenaga dan cerdas, tidur juga penting untuk melancarkan beberapa fungsi tubuh yang lain, termasuklah: 

  • menjana pembaikan otot
  • menguatkan daya ingatan
  • mengawal atur bahan-bahan kimia tubuh (terutama hormon yang berkait dengan tumbesaran dan selera makan)
  • menguatkan sistem imun

Bila (dan bagaimana) sebenarnya proses-proses ini terjadi? Fasa-fasa tidur sebenarnya berlaku dalam bentuk kitaran, di mana setiap fasa akan disempurnakan dan diulangi sepanjang malam. 

Kitaran tidur

Terdapat lima fasa tidur utama:

  • Empat fasa tidur yang pertama ialah tidur NREM (Bukan Gerak Mata Cepat atau Non-Rapid Eye Movement), yang melibatkan 75 peratus masa tidur; dan
  • Tidur REM (Gerak Mata Cepat atau Rapid Eye Movement) yang melibatkan 25 peratus masa tidur.

 

 

Fasa 1 – Tidur NREM
Fasa ‘rehat yang ringan’ antara sedar dan lena.

Fasa 2 – Tidur NREM
Apabila tidur bertambah dalam, otak mula melakukan tugas yang kurang rumit. Pernafasan dan degupan jantung juga semakin perlahan semasa fasa ini; oleh yang demikian, tidur dalam persekitaran yang sejuk dan selesa dapat membantu merendahkan suhu tubuh ke tahap ‘relaks’. 

Fasa 3 – Tidur NREM
Pada fasa ini, tubuh melaksanakan pembaikan tulang dan kulit serta menstabilkan tahap hormon. 

Fasa 4 – Tidur NREM
Apabila tekanan darah berkurangan dan pernafasan menjadi perlahan, inilah masanya di mana seseorang individu atau menikmati tidur yang paling dalam dan paling ideal untuk pemulihan tubuh. Otot akan mengendur apabila darah dialirkan ke arahnya dan bekalan tenaga tubuh kembali maksimum. 

Fasa 5 – Tidur REM
Pada fasa ini, degupan jantung dan suhu tubuh semakin meningkat apabila otak mula kembali aktif. Bebola mata akan bergerak-gerak dengan laju di bawah kelopak mata (itulah sebabnya ia digelar fasa Gerak Mata Cepat) sementara mimpi makin mudah diingat. Pada fasa ini, tubuh berada dalam keadaan relaks bagi merangsang pemulihan bekalan tenaga ke otak dan seluruh tubuh, manakala otot terus berada dalam keadaan tidak aktif.

REM atau Fasa 5 tidur (kitaran pertama) mengambil masa lebih kurang 90 minit untuk dicapai, dan fasa tersebut akan berlanjutan dengan lebih lama apabila ia berulang-ulang sepanjang malam.

Kualiti dan juga kuantiti tidur adalah penting untuk menyegarkan minda dan tubuh – oleh yang demikian, bagi mereka yang tidak mendapat tidur yang mencukupi, tubuh mungkin tidak dapat menyempurnakan beberapa proses penting seperti pembaikan otot. Bagi memastikan fungsi harian yang lebih produktif dan kesihatan keseluruhan yang lebih baik,  pastikan anda mendapat 8 jam tidur yang tidak terganggu.

Kitaran tidur

Setiap daripada lima fasa ini dikategorikan mengikut aktiviti otak yang berlainan. Ia memainkan peranan yang berbeza dan kesemuanya adalah penting untuk mengekalkan kesihatan tubuh anda.